Thursday 9 October 2014

PROGRAM ALAM SEKITAR : CINTAI ALAM DEMI CINTAI ALLAH

      Program alam sekitar ini memainkan peranan yang penting kepada masyarakat. Program yang dijalankan di SK Salak ini dapat membantu meningkatkan kualiti kehidupan masyarakat. Contohnya, saya telah menayangkan tayangan video tentang pemuliharaan alam sekitar dan ceramah mengenai pemuliharaan alam sekitar. Tayangan video dan ceramah itu dapat memberikan kesedaran kepada murid-murid kepentingan menjaga alam sekitar dengan baik dan dapat mengetahui cara-cara menjaga alam sekitar. Selain itu, penjagaan alam sekitar yang baik dapat mengelakkan berlakunya pencemaran alam sekitar dan alam sekitar akan menjadi lebih bersih. Oleh itu, murid-murid SK Salak dapat mengamalkan nilai-nilai murni supaya kebersihan alam sekitar dijaga dengan lebih baik dan terurus. Alam sekitar yang bersih membolehkan masyarakat menikmati keindahan alam sekitar. Alam sekitar yang bersih juga akan memberikan ketenangan jiwa kepada masyarakat.   


Murid menjalankan aktiviti kitar semula

        Disamping itu, pihak sekolah mengadakan aktiviti kitar semula yang melibatkan murid-murid tahap 1 dan tahap 2. Aktiviti ini dijalankan oleh Panitia Sains SK Salak. Aktiviti ini dapat memberikan banyak faedah kepada murid-murid. Murid dapat mengenalpasti bahan-bahan yang dapat dikitar semula dan mengetahui bahawa pentingnya aktiviti kitar semula ini untuk menjaga alam sekitar. Aktiviti kitar semula ini dapat membantu murid menghasilkan sesuatu produk yang baru atau boleh dikategorikan sebagai produk inovasi yang dihasilkan daripada bahan-bahan yang tidak mahu digunakan lagi atau daripada bahan-bahan terpakai. Banyak kebaikan yang boleh diperoleh daripada aktiviti kitar semula, bukan sahaja mendatangkan kebaikan kepada manusia, malahan kepada haiwan dan alam sekitar. Aktiviti kitar semula berpotensi menangani masalah kekurangan tapak pelupusan sampah.  Saban hari, masyarakat Malaysia membuang sampah sehingga tapak pelupusan sampah menjadi tidak cukup untuk menampung kuantiti sampah yang banyak dibuang oleh manusia. Aktiviti kitar semula juga dapat memberikan keuntungan kepada masyarakat dimana mereka boleh menghasilkan sesuatu yang baru untuk dijual di pasaran. Contohnya, surat khabar boleh diinovasikan menjadi sebuah bakul yang cantik dan menarik. Berbagai-bagai kraf tangan lain yang boleh dihasilkan daripada surat khabar mahupun tayar-tayar lama. Seterusnya, kraf-kraf tangan yang dihasilkan boleh dipasarkan dengan harga yang berpatutan.

      Selain itu, masalah kesan rumah hijau dapat dikurangkan melalui kitar semula. Penghasilan barang baru daripada bahan mentah menggunakan lebih banyak tenaga berbanding menghasilkan barang baru daripada barang terbuang. Gas-gas yang dikeluarkan dari kilang seperti karbon monoksida, sulfur dioksida dan metana merupakan punca kesan rumah hijau sekali gus menjurus kepada pemanasan global. Hal ini terjadi apabila banyak tenaga yang digunakan ketika menghasilkan sesuatu barang. Besi buruk boleh dijadikan bahan logam yang penting untuk industri besi dan logam. Botol minuman dan bekas makanan plastik boleh dijadikan sumber industri yang berasaskan barangan plastik. Oleh sebab itu, program kitar semula ini dapat membantu masyarakat menjana pendapatan yang lumayan  kerana semua bahan berkenaan boleh dijual. Justeru itu, bahan-bahan berkenaan tidak perlu dibuang di merata-rata tempat kerana ada banyak faedah yang boleh diperolehi jika dimanfaatkan dengan sebaik-baiknya.
          
         Kitar semula juga penting agar alam sekitar sentiasa bersih dan bebas daripada pencemaran. Kebersihan alam akan menambah keceriaan di sesuatu kawasan. Orang ramai boleh menikmati keindahan alam dengan sepenuhnya jika alam sekitar bersih kehidupan menjadi lebih seronok dan selesa. Masyarakat juga dapat hidup dengan aman dan damai bebas daripada pencemaran alam sekitar. Perkara yang lebih penting melalui aktiviti kitar semula ialah dapat mendidik masyarakat supaya mementingkan kebersihan alam sekitar. Melalui program ini, masyarakat Malaysia dapat memainkan peranan masing-masing untuk menjaga alam sekitar setiap masa. Orang ramai dapat mengetahui tempat pembuangan sampah yang betul. Mereka membuang sampah di tempat yang telah ditentukan oleh pihak berkuasa tempatan. Alam sekitar yang bersih akan menjamin keselesaan hidup di mana-mana juga kita berada di negara ini.
          
       Aktiviti seterusnya yang dijalankan di sekolah ialah aktiviti pertandingan kumpul sampah. Aktiviti pertandingan ini diadakan untuk tahap 2 iaitu tahun 4, tahun 5 dan tahun 6. Murid-murid dikehendaki mengutip sampah sarap di seluruh kawasan sekolah. Murid yang dapat mengumpul sampah paling banyak diberikan hadiah yang lumayan oleh guru panitia sains iaitu Cikgu Nik Asmazura. Aktiviti ini dapat memberi kesedaran kepada murid-murid betapa pentingnya menjaga kebersihan sekolah supaya kawasan sekolah kelihatan bersih dan kemas. Sampah sarap yang banyak dapat memberikan kesan yang negatif kepada imej sesebuah sekolah. Tambahan pula, persekitaran yang tidak bersih dapat mengancam kesihatan dan kesejahteraan masyarakat. Persekitaran yang bersih dan sihat adalah penting untuk memastikan keperluan asas kehidupan manusia seperti air, udara dan makanan sentiasa bersih. Persekitaran yang bersih juga dapat mewujudkan suasana yang harmoni dan menenangkan fikiran serta dapat menyumbang kepada kesejahteraan emosi masyarakat. Pembuangan sampah sarap juga dapat mengurangkan bahaya dan risiko jangkitan penyakit berjangkit kerana ini secara tidak langsung dapat mengurangkan pembiakan nyamuk, lipas, lalat dan tikus. Secara hakikatnya, kebersihan adalah tuntutan semua agama dan amat dihargai oleh semua ahli masyarakat. Persekitaran yang bersih dan sihat harus dilindungi agar masyarakat boleh meneruskan kehidupan yang lebih sejahtera.



No comments:

Post a Comment