Thursday 9 October 2014

PENAMBAHBAIKAN PROGRAM

PENAMBAHBAIKAN PROGRAM

Program alam sekitar yang telah kami jalankan mempunyai banyak kelemahan. Oleh itu, kami perlu melaksanakan beberapa penambahbaikan untuk memastikan program ini berjalan dengan lancar pada masa akan datang.
          
Antara penambahbaikan yang perlu dilakukan ialah masa ceramah perlu dilebihkan atau lebih lama. Hal ini kerana masa yang diberikan agak singkat menyebabkan penceramah menyampaikan ceramah tentang pemuliharaan alam sekitar dengan cepat dan tidak sempat untuk memberikan penerangan yang jelas kepada murid-murid. Oleh itu, pengurusan masa yang efisien memainkan peranan yang penting agar perkara penting yang ingin disampaikan oleh seseorang penceramah dapat disampaikan dengan lebih jelas dan terperinci.
          
Selain itu, tempat yang disediakan oleh pihak sekolah terlalu kecil dan tidak dapat menampung bilangan murid yang terlalu ramai. Murid-murid terpaksa duduk berhimpit-himpit antara satu sama lain. Hal ini menyebabkan mereka berasa kurang selesa untuk mendengar ceramah tentang pemuliharaan alam sekitar. Oleh itu, aktiviti ceramah ini perlu dilaksanakan di tapak perhimpunan kerana kawasan itu lebih luas dan mempunyai ruang yang besar. Tempat yang luas dan selesa dapat memberikan keselesaan kepada murid-murid. Secara tidak langsung, murid dapat mendengar ceramah dengan lebih baik.
          
Sebelum aktiviti tayangan video dijalankan, kami menghadapi masalah dari segi teknikal iaitu masalah LCD. LCD yang dipasang pada mulanya tidak dapat berfungsi dengan baik. Gambar yang ditunjukkan tidak dapat dilihat dan tidak jelas. Oleh itu, kami terpaksa menggunakan LCD yang lain kerana mengalami beberapa masalah. Masalah ini menyebabkan program berjalan agak lambat daripada yang dirancangkan. Oleh hal yang demikian, sebelum sesuatu aktiviti atau program dijalankan, kami seharusnya perlu menguji LCD itu terlebih dahulu supaya aktiviti yang dirancang dapat berjalan dengan lancar dan dapat dilaksanakan pada masa yang telah ditetapkan dalam tentatif program.
          
Gambar-gambar yang dipaparkan pada tayang slaid juga tidak banyak. Oleh itu, penambahan gambar-gambar yang menarik untuk dipaparkan pada murid mungkin dapat memberi pendedahan yang lebih luas. Selain itu, penggunaan warna yang lebih menarik juga perlu dalam menarik perhatian murid ketika memberi ceramah.
          
Tambahan lagi, ramai murid datang ke sekolah lambat. Program yang dijalankan bermula pada pukul 7.20 pagi. Oleh itu, kami perlu menunggu ketibaan murid-murid terlebih dahulu supaya semua murid dapat menjalankan aktiviti-aktiviti yang telah dirancang oleh kami. Aktiviti yang dirancang pada awal pagi dilakukan lewat sedikit daripada masa yang telah ditetapkan. Pengurusan masa yang efisien memainkan peranan yang penting untuk menjalankan sesuatu program. 
         

No comments:

Post a Comment