Thursday 9 October 2014

PENAMBAHBAIKAN PROGRAM

PENAMBAHBAIKAN PROGRAM

Program alam sekitar yang telah kami jalankan mempunyai banyak kelemahan. Oleh itu, kami perlu melaksanakan beberapa penambahbaikan untuk memastikan program ini berjalan dengan lancar pada masa akan datang.
          
Antara penambahbaikan yang perlu dilakukan ialah masa ceramah perlu dilebihkan atau lebih lama. Hal ini kerana masa yang diberikan agak singkat menyebabkan penceramah menyampaikan ceramah tentang pemuliharaan alam sekitar dengan cepat dan tidak sempat untuk memberikan penerangan yang jelas kepada murid-murid. Oleh itu, pengurusan masa yang efisien memainkan peranan yang penting agar perkara penting yang ingin disampaikan oleh seseorang penceramah dapat disampaikan dengan lebih jelas dan terperinci.
          
Selain itu, tempat yang disediakan oleh pihak sekolah terlalu kecil dan tidak dapat menampung bilangan murid yang terlalu ramai. Murid-murid terpaksa duduk berhimpit-himpit antara satu sama lain. Hal ini menyebabkan mereka berasa kurang selesa untuk mendengar ceramah tentang pemuliharaan alam sekitar. Oleh itu, aktiviti ceramah ini perlu dilaksanakan di tapak perhimpunan kerana kawasan itu lebih luas dan mempunyai ruang yang besar. Tempat yang luas dan selesa dapat memberikan keselesaan kepada murid-murid. Secara tidak langsung, murid dapat mendengar ceramah dengan lebih baik.
          
Sebelum aktiviti tayangan video dijalankan, kami menghadapi masalah dari segi teknikal iaitu masalah LCD. LCD yang dipasang pada mulanya tidak dapat berfungsi dengan baik. Gambar yang ditunjukkan tidak dapat dilihat dan tidak jelas. Oleh itu, kami terpaksa menggunakan LCD yang lain kerana mengalami beberapa masalah. Masalah ini menyebabkan program berjalan agak lambat daripada yang dirancangkan. Oleh hal yang demikian, sebelum sesuatu aktiviti atau program dijalankan, kami seharusnya perlu menguji LCD itu terlebih dahulu supaya aktiviti yang dirancang dapat berjalan dengan lancar dan dapat dilaksanakan pada masa yang telah ditetapkan dalam tentatif program.
          
Gambar-gambar yang dipaparkan pada tayang slaid juga tidak banyak. Oleh itu, penambahan gambar-gambar yang menarik untuk dipaparkan pada murid mungkin dapat memberi pendedahan yang lebih luas. Selain itu, penggunaan warna yang lebih menarik juga perlu dalam menarik perhatian murid ketika memberi ceramah.
          
Tambahan lagi, ramai murid datang ke sekolah lambat. Program yang dijalankan bermula pada pukul 7.20 pagi. Oleh itu, kami perlu menunggu ketibaan murid-murid terlebih dahulu supaya semua murid dapat menjalankan aktiviti-aktiviti yang telah dirancang oleh kami. Aktiviti yang dirancang pada awal pagi dilakukan lewat sedikit daripada masa yang telah ditetapkan. Pengurusan masa yang efisien memainkan peranan yang penting untuk menjalankan sesuatu program. 
         

ANALISIS BORANG MAKLUM BALAS

ANALISIS BORANG MAKLUM BALAS

Kami telah menggunakan borang soal selidik untuk mendapatkan maklum balas daripada pelajar tentang program-program Pemuliharaan Alam Sekitar di bawah anjuran Panitia Sains. Bilangan responden yang ditetapkan adalah seramai 40 orang dalam kalangan pelajar tahap 2 iaitu pelajar tahun 4, 5 dan 6 sahaja. Terdapat 5 item pernyataan dan setiap item dikira beransur-ansur mengikut respon yang dipilih pelajar sama ada ya atau tidak. Kemudian semua bilangan respon pelajar dikira dalam bentuk peratusan. Analisis maklum balas pelajar dikemukakan dalam graf bar di bawah:

Graf 1: Analisis Maklum balas Murid SK Salak


Borang soal selidik ini disediakan dan diedarkan kepada pelajar bagi memperoleh maklum balas keberkesanan program yang dijalankan dalam menangani isu pencemaran alam sekitar yang makin kritikal kini. Disamping menilai tahap kesedaran pelajar terhadap usaha-usaha pemuliharan alam sekitar yang merupakan tangggungjawab kita bersama. Item 1 adalah berkaitan penyerapan ilmu pengetahuan  tentang  pemuliharaan alam sekitar.

Dalam ceramah pemuliharaan alam sekitar, kami telah mendedahkan kepada pelajar berkaitan definisi memelihara dan memulihara serta usaha-usaha yang telah dijalankan kerajaan dalam memulihara alam sekitar. Melalui ceramah ini diharapkan semua pelajar dapat memahami dengan lebih mendalam akan usaha pemuliharaan alam sekitar yang dijalankan dan matlamatnya. Selain itu, pelajar juga boleh menghubungkaitkan kepentingan flora dan fauna dengan keperluan manusia. Analisis item 1 menunjukkan 80% respon memilih Ya sementara 20% memilih Tidak. Ini menunjukkan hampir keseluruhan murid dapat memahami dengan jelas matlamat pemuliharaan dan dapat membuat hubungkait dengan baik. Ini juga dapat dilihat dalam sesi soal jawab selepas ceramah dimana pelajar dapat menyatakan kepentingan alam sekitar kepada kehidupan kita dan menyatakan apakah itu memelihara dan memulihara. Terdapat 8 orang pelajar yang memilih Tidak dan ini kerana mereka kurang memahami soalan dan tidak memberi perhatian penuh semasa ceramah disampaikan guru. 

Bagi item 2, pernyataan adalah berkaitan penilaian kesedaran pelajar tehadap amalan kitar semula. Respon yang diterima sangat memberangsangkan dimana 100% respon menjawab Ya. Tambahan lagi, usaha ini telah diperkenalkan dari dahulu lagi oleh pihak kementerian dalam mendidik  generasi kini terhadap usaha memulihara alam sekitar. Melalui aktiviti kitar semula yang dijalankan kepada semua komuniti sekolah  pelajar di didik untuk mengamalkan aktiviti kitar semula dalam kehidupan seharian. Ini dapat meningkatkan kesedaran pelajar akan kepentingan kitar semula dan sumbangannya kepada alam. Melalui program ini kami berharap pendedahan ini akan mempertingkatkan lagi tahap kesedaran pelajar terhadap isu pemuliharaan alam sekitar dan memperingatkan mereka betapa kritikalnya isu pencemaran udara dan air menjejaskan kesihatan kita. 

Item 3 pula adalah tentang kesan pencemaran kepada manusia antaranya menjejaskan kesihatan. Analisis menunjukkan 100% respon pelajar menjawab Ya. Pernyataan ini juga merupakan pengetahuan am yang diketahui setiap pelajar melalui pendedahan di kaca televisyen dan surat khabar. Respon yang diberikan pelajar menunjukkan bahawa mereka tahu dan sedar akan kesan buruk pencemaran kepada manusia dan bumi. Biarpun pelajar sudah tahu akan kesan buruk pencemaran namun mereka perlu sentiasa diperingatkan supaya mereka tidak leka dan kurang mengambil berat terhadap usaha badan-badan tertentu dalam memulihara alam sekitar. Usaha yang berterusan akan mempertingkatkan kesedaran dalam jiwa setiap individu. Program pemuliharaan alam sekitar yang dijalankan secara berterusan ini melalui pendedahan di peringkat persekolahan lagi diharap dapat memupuk sikap sayangi alam sekitar dalam diri pelajar disamping  berusaha memelihara dan memulihara alam sekitar untuk jangka masa panjang. 

Manakala bagi item 4 iaitu memelihara dan memulihara alam sekitar adalah tanggungjawab bersama telah dipersetujui seramai 38 orang murid iaitu 95% dan selebihnya tidak bersetuju. Ini menunjukkan bahawa hampir kesemua murid bersetuju bahawa mereka mempunyai tanggugjawab dalam memulihara alam sekitar. Begitu juga dengan item 5 hampir kesemua murid iaitu 96% orang murid bersetuju supaya program ini berterusan agar mereka dapat menerapkan jati diri dalam memulihara alam sekitar dengan kitar semula. 


BORANG MAKLUM BALAS CERAMAH DAN AKTIVITI PROGRAM PEMULIHARAAN ALAM SEKITAR


BORANG MAKLUM BALAS CERAMAH DAN AKTIVITI PROGRAM PEMULIHARAAN  ALAM SEKITAR


     Arahan: Isikan maklumat dibawah.

Bahagian A: Latar Belakang Murid
 

1) Jantina :                       Lelaki                                          Perempuan 

2) Umur: .................................

     
     Arahan: Tandakan ( / ) pada ruangan YA atau TIDAK. 

Bahagian B: Maklum balas murid



PROGRAM ALAM SEKITAR : CINTAI ALAM DEMI CINTAI ALLAH

      Program alam sekitar ini memainkan peranan yang penting kepada masyarakat. Program yang dijalankan di SK Salak ini dapat membantu meningkatkan kualiti kehidupan masyarakat. Contohnya, saya telah menayangkan tayangan video tentang pemuliharaan alam sekitar dan ceramah mengenai pemuliharaan alam sekitar. Tayangan video dan ceramah itu dapat memberikan kesedaran kepada murid-murid kepentingan menjaga alam sekitar dengan baik dan dapat mengetahui cara-cara menjaga alam sekitar. Selain itu, penjagaan alam sekitar yang baik dapat mengelakkan berlakunya pencemaran alam sekitar dan alam sekitar akan menjadi lebih bersih. Oleh itu, murid-murid SK Salak dapat mengamalkan nilai-nilai murni supaya kebersihan alam sekitar dijaga dengan lebih baik dan terurus. Alam sekitar yang bersih membolehkan masyarakat menikmati keindahan alam sekitar. Alam sekitar yang bersih juga akan memberikan ketenangan jiwa kepada masyarakat.   


Murid menjalankan aktiviti kitar semula

        Disamping itu, pihak sekolah mengadakan aktiviti kitar semula yang melibatkan murid-murid tahap 1 dan tahap 2. Aktiviti ini dijalankan oleh Panitia Sains SK Salak. Aktiviti ini dapat memberikan banyak faedah kepada murid-murid. Murid dapat mengenalpasti bahan-bahan yang dapat dikitar semula dan mengetahui bahawa pentingnya aktiviti kitar semula ini untuk menjaga alam sekitar. Aktiviti kitar semula ini dapat membantu murid menghasilkan sesuatu produk yang baru atau boleh dikategorikan sebagai produk inovasi yang dihasilkan daripada bahan-bahan yang tidak mahu digunakan lagi atau daripada bahan-bahan terpakai. Banyak kebaikan yang boleh diperoleh daripada aktiviti kitar semula, bukan sahaja mendatangkan kebaikan kepada manusia, malahan kepada haiwan dan alam sekitar. Aktiviti kitar semula berpotensi menangani masalah kekurangan tapak pelupusan sampah.  Saban hari, masyarakat Malaysia membuang sampah sehingga tapak pelupusan sampah menjadi tidak cukup untuk menampung kuantiti sampah yang banyak dibuang oleh manusia. Aktiviti kitar semula juga dapat memberikan keuntungan kepada masyarakat dimana mereka boleh menghasilkan sesuatu yang baru untuk dijual di pasaran. Contohnya, surat khabar boleh diinovasikan menjadi sebuah bakul yang cantik dan menarik. Berbagai-bagai kraf tangan lain yang boleh dihasilkan daripada surat khabar mahupun tayar-tayar lama. Seterusnya, kraf-kraf tangan yang dihasilkan boleh dipasarkan dengan harga yang berpatutan.

      Selain itu, masalah kesan rumah hijau dapat dikurangkan melalui kitar semula. Penghasilan barang baru daripada bahan mentah menggunakan lebih banyak tenaga berbanding menghasilkan barang baru daripada barang terbuang. Gas-gas yang dikeluarkan dari kilang seperti karbon monoksida, sulfur dioksida dan metana merupakan punca kesan rumah hijau sekali gus menjurus kepada pemanasan global. Hal ini terjadi apabila banyak tenaga yang digunakan ketika menghasilkan sesuatu barang. Besi buruk boleh dijadikan bahan logam yang penting untuk industri besi dan logam. Botol minuman dan bekas makanan plastik boleh dijadikan sumber industri yang berasaskan barangan plastik. Oleh sebab itu, program kitar semula ini dapat membantu masyarakat menjana pendapatan yang lumayan  kerana semua bahan berkenaan boleh dijual. Justeru itu, bahan-bahan berkenaan tidak perlu dibuang di merata-rata tempat kerana ada banyak faedah yang boleh diperolehi jika dimanfaatkan dengan sebaik-baiknya.
          
         Kitar semula juga penting agar alam sekitar sentiasa bersih dan bebas daripada pencemaran. Kebersihan alam akan menambah keceriaan di sesuatu kawasan. Orang ramai boleh menikmati keindahan alam dengan sepenuhnya jika alam sekitar bersih kehidupan menjadi lebih seronok dan selesa. Masyarakat juga dapat hidup dengan aman dan damai bebas daripada pencemaran alam sekitar. Perkara yang lebih penting melalui aktiviti kitar semula ialah dapat mendidik masyarakat supaya mementingkan kebersihan alam sekitar. Melalui program ini, masyarakat Malaysia dapat memainkan peranan masing-masing untuk menjaga alam sekitar setiap masa. Orang ramai dapat mengetahui tempat pembuangan sampah yang betul. Mereka membuang sampah di tempat yang telah ditentukan oleh pihak berkuasa tempatan. Alam sekitar yang bersih akan menjamin keselesaan hidup di mana-mana juga kita berada di negara ini.
          
       Aktiviti seterusnya yang dijalankan di sekolah ialah aktiviti pertandingan kumpul sampah. Aktiviti pertandingan ini diadakan untuk tahap 2 iaitu tahun 4, tahun 5 dan tahun 6. Murid-murid dikehendaki mengutip sampah sarap di seluruh kawasan sekolah. Murid yang dapat mengumpul sampah paling banyak diberikan hadiah yang lumayan oleh guru panitia sains iaitu Cikgu Nik Asmazura. Aktiviti ini dapat memberi kesedaran kepada murid-murid betapa pentingnya menjaga kebersihan sekolah supaya kawasan sekolah kelihatan bersih dan kemas. Sampah sarap yang banyak dapat memberikan kesan yang negatif kepada imej sesebuah sekolah. Tambahan pula, persekitaran yang tidak bersih dapat mengancam kesihatan dan kesejahteraan masyarakat. Persekitaran yang bersih dan sihat adalah penting untuk memastikan keperluan asas kehidupan manusia seperti air, udara dan makanan sentiasa bersih. Persekitaran yang bersih juga dapat mewujudkan suasana yang harmoni dan menenangkan fikiran serta dapat menyumbang kepada kesejahteraan emosi masyarakat. Pembuangan sampah sarap juga dapat mengurangkan bahaya dan risiko jangkitan penyakit berjangkit kerana ini secara tidak langsung dapat mengurangkan pembiakan nyamuk, lipas, lalat dan tikus. Secara hakikatnya, kebersihan adalah tuntutan semua agama dan amat dihargai oleh semua ahli masyarakat. Persekitaran yang bersih dan sihat harus dilindungi agar masyarakat boleh meneruskan kehidupan yang lebih sejahtera.



PROGRAM ALAM SEKITAR : CINTAI ALAM DEMI CINTAI ALLAH

      Saya telah menjalankan satu program di sekolah semasa menjalankan intership di salah sebuah sekolah di daerah Sepang, Selangor iaitu Sekolah Kebangsaan Salak. Program yang telah saya jalankan ini berlangsung selama empat hari iaitu bermula daripada 15 Julai 2014 sehingga 18 Julai 2014. Program yang telah saya jalankan ini ialah mengenai tentang alam sekitar. Temanya ialah “ Cinta Alam Demi Cinta Allah ”. Program alam sekitar ini merupakan program yang dianjurkan oleh unit Pusat Sumber Sekolah, Sains dan Pendidikan Seni Visual. Gabungan ketiga-tiga unit tersebut dapat menghasilkan program yang menarik dan berilmiah kepada murid-murid Sekolah Kebangsaan Salak. Tambahan pula, program ini dapat berjalan dengan lancar tanpa timbulnya sebarang masalah semasa program ini dilaksanakan di sekolah.

          Rasionalnya program ini dijalankan adalah untuk  memastikan budaya cintakan ilmu berjaya dipupuk dalam kalangan semua lapisan masyarakat terutamanya murid-murid dan diberi pendedahan agar yakin pada kebolehan diri. Objektif kajian ini dijalankan adalah untuk memupuk sikap positif dan keyakinan diri dalam kalangan murid-murid, menarik minat murid untuk menyertai aktiviti-aktiviti ilmiah, membentuk murid ke arah berjiwa kreatif dan menyediakan murid-murid ke arah masyarakat yang kaya maklumat.

          Semua aktiviti ini diadakan di dewan Sekolah Kebangsaan Salak. Program kitar semula ini dijalankan di dewan kerana ruangnya yang luas dan tempat yang selesa itu dapat membantu murid-murid untuk menjalankan aktiviti yang dianjurkan oleh guru dengan mudah dan selesa. Antara aktiviti-aktiviti yang dijalankan ialah pertandingan mewarna, ceramah pemuliharaan alam sekitar, program kitar semula, pertandingan menghasilkan carta kitaran hidup haiwan, menghasilkan poskad dan lain-lain lagi. Semua aktiviti yang dijalankan mendapat sambutan yang hangat daripada murid-murid. Selain itu, guru-guru juga memberikan kerjasama untuk menjayakan program ini.


          Aktiviti-aktviti ini dijalankan pada waktu pengajaran dan pembelajaran pendidikan seni visual dan sains, pada waktu rehat dan pada waktu perhimpunan pagi. Aktiviti-aktiviti ini dijalankan pada waktu itu supaya semua aktviti yang dianjurkan oleh pihak sekolah dapat dilaksanakan dengan baik dan dapat dilakukan mengikut jadual yang telah ditetapkan. Semua murid melibatkan diri dengan aktif terhadap aktiviti-aktiviti yang dijalankan di sekolah.   

Murid menontin tayangan video dan mendengar ceramah